HomeBeritaBaru sebulan tiba di Malaysia, kahwin orang tempatan

Baru sebulan tiba di Malaysia, kahwin orang tempatan

KUALA LUMPUR: Baru sahaja sebulan berada di Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, seorang wanita warga Filipina mendakwa dirinya sudah berkahwin dengan lelaki tempatan.

Malah, wanita berusia 29 tahun itu juga mendakwa dirinya mempunyai permit untuk bekerja di sebuah salon di Kompleks Kota Raya, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Wanita itu berkata, dia memasuki Malaysia pada Februari lalu menggunakan pas lawatan sosial sebelum berkahwin dengan suaminya yang juga warga tempatan pada Mac lalu.

“Saya sudah bekerja di sini selama tujuh bulan sejak Mei lalu dengan gaji RM2,000 sebulan.

“Di sini, (Kompleks Kota Raya), memang ramai pengunjung dan pekerja warga Filipina kerana banyak kemudahan orang kami di tempat ini,” katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan, hari ini.

Seorang lagi pekerja warga Filipina di kompleks terbabit iaitu seorang wanita berusia 54 tahun berkata, dia sudah bekerja di sebuah restoran di sana sejak lebih dua tahun lalu.

“Saya datang ke Kuala Lumpur mengikut suami yang juga warga tempatan berasal dari Lahad Datu, Sabah sejak 20 tahun lalu.

“Mula-mula masuk ke Lahad Datu kira-kira 30 tahun lalu, saya ‘kosong’ (tiada dokumen) sebelum berkahwin dengan suami dan dia ajak datang sini (Kuala Lumpur).

“Beberapa tahun kemudian, saya memohon pasport dengan Konsulat Filipina dan memohon menjadi penduduk tetap,” katanya yang mendakwa memiliki kad pengenalan merah.

Wanita itu juga memaklumkan bahawa dia diberi gaji RM3,000 sebulan untuk bekerja di sebuah restoran di kompleks berkenaan.

Sementara itu, seorang pengunjung warga Filipina yang juga mak nyah berusia 22 tahun berkata, dia datang ke kompleks berkenaan untuk ke spa kecantikan.

“Saya memang kerap datang ke sini sejak masuk ke Malaysia kira-kira lima tahun lalu untuk bekerja di sebuah syarikat swasta.

“Kompleks ini memang popular dalam kalangan orang Filipina kerana ada banyak produk Filipina termasuk makanan dijual di sini.

“Setiap kali datang ke sini, ia mengingatkan saya dengan suasana berada di kampung halaman di Manila kerana ramai orang (Filipina) dan banyak barangan kami dijual di sini,” jelasnya. – Utusan

Authors

Pilihan Editor