CYBERJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh tampil memberi respons berhubung kenyataan dikeluarkan oleh beberapa pemimpin DAP.
Salah satu daripadanya adalah kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang pada 29 November lalu menyentuh ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Malah, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai ketika berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Susulan itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian, yang dilihat hanya mencetuskan ketidakharmonian dalam rakyat Malaysia.
Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal juga yakin Kerajaan Perpaduan yang digerakkan dengan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) juga tidak selesa.
Beliau menegaskan, kenyataan-kenyataan pemimpin DAP itu umpama provokasi sengaja terhadap ‘status quo’ persefahaman di antara kaum yang dikecapi selama ini.
“Provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang.
“Misalnya jika hendak dilakukan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur, demografi penduduk berdasarkan bancian di Wilayah Kuala Lumpur adalah seramai 1,588,750 orang, daripada jumlah itu hanya 45.9 peratus merupakan penduduk Bumiputera.
“Jika diadakan pilihan raya, semestinya ketidakseimbangan akan wujud dan boleh dijangka apa kesudahannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, Malaysia telah ditadbir berdasarkan konsensus dan kemuafakatan sejak enam dekad yang lalu.
Oleh itu, beliau mengingatkan pemimpin DAP untuk lebih sensitif dan menghormati keharmonian sedia ada, serta tidak membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat.
Dr Muhamad Akmal juga menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak akan sama sekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama itu.
“Berada di dalam kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP.
“Ia dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah,” katanya.