SEORANG doktor tergamak menumbuk kepala seorang pesakit warga emas sebanyak beberapa kali ketika melakukan prosedur pembedahan.
Menurut BBC, meskipun insiden itu berlaku pada 2019, namun ia terbongkar selepas ditularkan oleh seorang doktor dikenali sebagai Ai Fen.
Menerusi video yang dirakam di sebuah hospital oftalmologi di barat daya Guigang, China, pakar bedah terbabit dilihat beberapa kali memukul kepala pesakit berusia 82 tahun itu.
Mangsa dilihat tersentak dan mengadu kesakitan selepas dipukul, manakala insiden terbabit turut disaksikan oleh seorang pembantu perubatan yang hanya menahannya daripada melakukan pergerakan.
Pesakit itu dilapor lebam di dahi kiri selepas kejadian tersebut.
Pihak berkuasa China kini sedang melakukan siasatan atas insiden terbabit.
Difahamkan, pakar bedah itu sudah digantung kerja manakala ketua pegawai eksekutif (CEO) hospital itu turut dipecat.
Pada masa sama, pihak pengurusan hospital membuat permohonan maaf atas insiden itu dan menawarkan ganti rugi sebanyak 500 yuan (RM324) kepada pesakit tersebut.
Syarikat induk hospital itu, Aier China dalam kenyataan berkata, pesakit itu telah menggerakkan kepala dan matanya sebanyak beberapa kali semasa prosedur itu.
Dia juga difahamkan tidak memberi respons atas arahan doktor yang bercakap bahasa Mandarin, disebabkan mangsa hanya boleh bertutur dalam dialek tempatan.
“Oleh sebab itu, pakar bedah memberi layanan kasar ketika keadaan kecemasan,” kata Aier China.
Sementara itu, anak lelaki mangsa mendakwa ibunya kini mengalami buta pada mata kirinya, namun masih belum dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada kejadian tersebut.
Ai Fen yang berkongsi video itu kepada dua juta pengikutnya di laman Weibo terkenal dengan peranannya sebagai penyampai maklumat, bagi memaklumkan orang ramai mengenai wabak Covid-19 di Wuhan.
Doktor itu juga terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan Aier China, yang mengendalikan rangkaian hospital mata.
Ai Fen mendakwa bahawa, dia hampir kehilangan penglihatan di sebelah matanya akibat rawatan yang diterima di hospital itu.