BARU-BARU ini, tular satu tangkap layar sebuah artikel mendakwa seorang penceramah bebas popular mengenakan caj hingga RM40,000 untuk program agama.
Lantaran foto itu, muncul sebilangan pihak yang mengkritik tindakan pendakwah terbabit yang merujuk kepada Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Bagaimanapun, dakwaan yang dikeluarkan menerusi sebuah blog itu disangkal oleh seorang penceramah bebas, ustaz Hafiz Al Za’Farani yang menegaskan bahawa ia merupakan satu fitnah buat UAI.
Menerusi perkongsian di Facebook, ustaz Hafiz menyifatkan dakwaan terbabit adalah satu hal yang jijik dalam usaha menjatuhkan imej UAI.
“Saya pernah menjadi penganjur program bersama UAI. Beliau dan PA (pengurus) beliau tidak pernah menyebutkan sebarang harga.
“Jika ditanya, biasa-biasa orang bagi berapa, mereka tetap menjawab tiada ketetapan harga. Terpulang pada penganjur.
“Ketika ditanya tentang flight dan hotel, mereka memaklumkan bahawa mereka akan uruskan sendiri. Ini zaman manusia menghalalkan fitnah untuk tujuan sendiri. Semoga kita semua dilindungi,” tulisnya pada Rabu.
Kenyataan ustaz Hafiz itu turut disokong oleh seorang lelaki yang berkongsi kisah UIA mentahnik anaknya.
“Saya pernah minta tolong UAI tahnik anak saya. Saya ada bagi duit tanda terima kasih tapi UAI tolak dengan baik. Tapi saya berkeras juga nak bagi.
“Pada saya, tomahan UAI gilakan upah dengan mengenakan caj tinggi ni saya rasa tidak betul, ini lebih kepada nak jatuhkan UAI,” tulisnya.
Terdahulu, nama UAI menjadi perhatian di media sosial kerana beliau mengulas isu berkaitan Ashabul Kahfi.
Difahamkan, UAI mengeluarkan kenyataan dalam satu majlis ceramah susulan seorang jemaah yang hadir mengajukan soalan berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan UAI secara am itu disalah tafsir malah timbul dakwaan mengatakan kenyataan tersebut merujuk kepada seorang pemimpin di negara ini.
Perihal terbabit secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak puas hati bagi sebilangan pihak yang beranggapan UAI mempolitikan agama.