HomeTeknologiGoogle, Meta perlu kongsi untung hasil kandungan media tempatan

Google, Meta perlu kongsi untung hasil kandungan media tempatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi berhubung usaha mendapatkan bayaran adil daripada syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Meta supaya berkongsi perolehan daripada hasil kandungan media tempatan.

Ketua Pasukan Petugas Projek Selamatkan Kewartawanan Malaysia MNPA, Rafiq Razali berkata, pandangan persatuan berhubung perkara itu sudah dikemukakan kepada kementerian.

“Kita akan terus memberi kerjasama kepada kementerian bagi merealisasikan cadangan yang sudah dikemukakan sebelum ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau ditanya usaha MNPA berikutan perkembangan terbaru di Kanada yang menyaksikan Google membayar RM350 juta kepada media cetak di negara itu sebagai pertukaran bagi pengedaran kandungan beritanya.

Penghujung November lalu, Ottawa dan Google mengumumkan perjanjian bersejarah yang antara lain menyaksikan syarikat gergasi teknologi itu akan membayar pampasan kepada syarikat media Kanada berhubung kehilangan hasil pengiklanan.

Melalui perjanjian itu, perkongsian yang akan diterima oleh televisyen dan radio dihadkan pada 30 peratus, iaitu CBC/Radio-Canada (penyiar awam Kanada) menerima tujuh peratus dan baki 63 peratus untuk media cetak.

Julai lalu, MNPA memaklumkan mereka berkongsi idea dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berhubung usaha membantu syarikat media tempatan mendapatkan bayaran adil daripada syarikat teknologi gergasi yang memanfaatkan kandungan tempatan.

Selain Kanada, Google pada September lalu dilaporkan bersetuju membayar ganti rugi kepada syarikat penerbitan di Australia selepas syarikat itu memperoleh hasil pengiklanan bagi penyiaran berita dalam talian kandungan media tradisional di negara itu.

September lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan Malaysia sedang mempertimbangkan peraturan yang akan menjadikan gergasi internet Alphabet Inc, syarikat induk Google dan Meta Platform yang mengendalikan Facebook, untuk memberi pampasan kepada saluran berita untuk kandungan yang diperoleh daripada mereka.

Langkah itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani ‘ketidakseimbangan’ dalam pendapatan untuk platform digital dan media tempatan, serta untuk memastikan ‘pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita.’ – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor