KUALA LUMPUR: Berkahwin empat hanya untuk menggunakan nama isteri sebagai proksi bagi membolot tender kerajaan, dianggap satu penipuan besar, kata Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu dikhuatiri membawa ancaman sama besar seperti gejala rasuah yang boleh mempengaruhi pembangunan negara.
Menurutnya, pendedahan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berkenaan 500 syarikat dalam perhatian kerana disyaki membentuk kartel tender menggunakan isteri pemilik syarikat sebagai proksi, harus dipandang serius.
“Strategi melibatkan pemilik syarikat berkahwin dengan beberapa isteri dan menggunakan nama mereka sebagai proksi memberikan impak negatif terhadap persaingan yang adil.
“Tindakan MyCC memantau aktiviti kartel ini mesti disokong rakyat dan pasukan forensik pelbagai agensi yang pernah ditubuhkan perlu diaktifkan semula bagi mengekang segera masalah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jais berkata, siasatan yang berkualiti dan menyeluruh diperlukan bagi menangani isu berkenaan kerana membabitkan beberapa aspek kompleks yang memerlukan pemahaman mendalam daripada pelbagai sudut.
Katanya, dengan penubuhan pasukan pakar forensik daripada pelbagai agensi dipercayai mampu memberi impak lebih berkesan dalam siasatan, sekali gus diharap mendorong kepada tindakan perundangan yang lebih teratur.
“Pasukan forensik itu juga perlu bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan dan tindakan yang tegas dapat dilakukan segera.
“Perlindungan kepada pemberi maklumat perlu diperkemaskan kerana jaminan keselamatan akan merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan aktiviti mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata, kes kartel dalam tender kerajaan yang sering dilaporkan adalah satu perkara yang amat mengecewakan, terutama dalam keadaan ekonomi semasa ketika ini yang semakin menghimpit rakyat.
“(Jadi) Usaha ini adalah tanggungjawab bersama. Program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti dapat membina tekanan yang positif untuk mencapai ketelusan dan pertanggungjawaban yang diinginkan.
“Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara,” katanya. – Harian Metro