JELEBU: Proses pertukaran empat kali setahun berbanding dua kali ketika ini selain memudahkan pengisian borang pertukaran secara dalam talian antara syor dibawa Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) dalam menangani isu guru ‘duka lara’.
Setiausaha Agung Kongres, Mohd Azizie Hasan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu mewujudkan sistem pangkalan data guru duka lara dan melihat kepada keperluan opsyen selain kekosongan untuk memudahkan proses pertukaran.
Di samping itu, beliau berkata khidmat kaunseling berterusan kepada guru duka lara perlu diberi bagi meningkatkan daya tahan emosi dan psikologi kumpulan berkenaan.
“Selain itu kita berharap wujud keprihatinan dan kebijaksanaan pihak pentadbir sekolah dalam memahami isu guru duka lara dan menanganinya dengan penuh hikmah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam BH melaporkan kes perceraian dalam kalangan guru duka lara akibat gagal mendapat tempat pertukaran atau berada dalam situasi perhubungan jarak jauh semakin meningkat di Malaysia.
Baru-baru ini, seorang guru yang sudah berkhidmat 12 tahun di sebuah negeri berkongsi pengalaman pahitnya dalam proses pertukaran ke negeri kelahiran melalui sebuah hantaran di media sosial.
Guru wanita yang tidak mahu dikenali identitinya telah berkongsi pengalamannya dalam sebuah kumpulan Facebook yang dikenali sebagai ‘e-Gtukar Pertukaran Guru – Oh e-Gtukar!’.
Dalam hantaran berkenaan, guru terbabit menceritakan mengenai cabaran dihadapinya dalam proses pertukaran termasuk kegagalan berulang kali dalam permohonan pertukaran walaupun telah mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan pihak jabatan dan KPM.
Sehubungan itu Kongres menggesa KPM mengambil tindakan proaktif bagi menangani isu guru duka lara dan pihaknya mengambil maklum kesan guru duka lara ini membawa kepada isu perceraian dan menjejaskan keharmonian rumah tangga suami isteri meskipun angkanya kecil.
Mohd Azizie berkata, langkah proaktif pihak KPM dalam menyelesaikan isu berkenaan dapat mengelakkan perceraian dan pengabaian terhadap rumah tangga yang menjejaskan emosi pasangan guru dan anak-anak.
“Kongres maklum punca perceraian ini membabitkan banyak faktor namun faktor pasangan guru berjauhan adalah antara faktor yang perlu diberikan perhatian.
“Atas dasar meraikan konsep pendidikan berteraskan manusiawi maka pihak Kongres mencadangkan beberapa perkara untuk diperhalusi pihak KPM,” katanya. – Berita Harian