HomeBeritaHujan lebat dijangka landa Terengganu tiga hari bermula esok

Hujan lebat dijangka landa Terengganu tiga hari bermula esok

KUALA TERENGGANU: Terengganu dijangka mengalami hujan yang begitu lebat secara berterusan selama tiga hari mulai esok.

Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria @ Che Kob berkata, keamatan hujan sangat tinggi tersebut diramal berlaku di semua lapan daerah di negeri ini dengan impak lebih besar akan dirasai di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, berdasarkan imej satelit hari ini, kelompok awan hujan yang aktif tersebut masih tertumpu di tengah Laut China Selatan.

“Kawasan penumpuan ini sedikit sebanyak menyerap impak luruan monsun yang sedang berlaku.

“Kelompok awan aktif berserta angin kencang berkenaan dijangka memasuki Terengganu bermula 23 Disember ini (esok),” katanya di sini hari ini.

Rosli berkata, ia membawa kemungkinan hujan sangat lebat secara berterusan dan menyeluruh di negeri ini sehingga Isnin ini.

Beliau berkata, MetMalaysia akan terus memantau keadaan cuaca dan akan mengemas kini amaran dari semasa ke semasa.

Kosmo! semalam melaporkan banjir gelombang ketiga dijangka melanda Terengganu dalam tempoh 22 Disember hingga 26 Disember ini berikutan pertembungan ribut Jelawat dan angin tropika di Laut China Selatan. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor