HomeBeritaJalan 'Glow In The Dark' terpanjang di Malaysia

Jalan ‘Glow In The Dark’ terpanjang di Malaysia

ALOR SETAR: Jalan Padang Sanai ke Durian Burung dalam daerah Padang Terap dipasang garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘Glow In The Dark’ sepanjang tiga kilometer sekali gus terpanjang di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, projek garisan jalan itu yang pertama di Kedah dan siap dipasang pada Selasa lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang berkata, garisan jalan berkenaan akan memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Cahaya matahari dikumpulkan dan apabila malam ia akan memantulkan cahaya yang terang. Jadi garisan ini akan membantu pengguna jalan raya memandu dengan lebih selamat pada waktu malam.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusoff berkata, Kedah adalah negeri yang mempunyai sumber cahaya matahari tertinggi dan mampu menjadi tarikan untuk pelabur mengusahakan ladang solar.

Malah katanya, sumber cahaya matahari yang tinggi menjadikan usahawan solar di Kedah hanya memerlukan lebih empat jam untuk menyimpan tenaga solar berbanding enam jam di negeri lain.

Sementara itu, JKR Padang Terap/ Pokok Sena dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan jalan bercahaya dalam gelap sedang diuji di Jalan Padan Sanai-Durian Burung (K11), Kedah. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor