GARA-GARA laluan di Kampung Paya Garok, Jalan Jerantut-Felda Padang Piol dinaiki air, jenazah seorang wanita terpaksa dipindahkan tiga kali dari van jenazah ke trak tentera.
Memetik laporan Harian Metro, van jenazah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh gagal meneruskan perjalanan kerana jalan ditenggelami air sedalam 0.5 meter dan sejauh 100 meter menyebabkan kenderaan ringan sukar melalui jalan terbabit.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Haris Salleh Hamzah yang turut serta menguruskan jenazah memaklumkan, sebaik tiba di Kampung Paya Garok, van yang membawa jenazah Zaiton Mohamad, 66, tidak dapat melalui kawasan yang digenangi air.
“Jenazah yang dibawa menggunakan van jenazah Hospital Hoshas dipindahkan ke trak tentera untuk menyeberangi kawasan digenangi air, kemudian dipindahkan sekali lagi ke van jenazah dari Felda padang Piol.
“Alhamdulillah pengurusan jenazah selamat dilakukan dengan kerjasama tentera, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat penghulu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.
Arwah Zaiton meninggal dunia di Hoshas akibat penyakit radang hati pada 11.35 malam Rabu dan jenazah selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Felda Padang Piol, pada Khamis.