HomeBerita'Jerung besar' dadah sasaran utama polis - Ayob Khan

‘Jerung besar’ dadah sasaran utama polis – Ayob Khan

CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu ‘jerung besar’ sindiket dadah susulan kejayaannya menumpaskan kartel dadah syabu terbesar di Sabah yang didalangi oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalang sindiket akan menjadi keutamaan polis dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).

Tambahnya, operasi tempoh hari mengenai tangkapan dalang di Sabah mempunyai kelainan berbanding operasi sebelum ini.

Menurutnya, jika sebelum ini pihak polis menyasarkan rampasan dengan berat bertan dan nilai berjuta, namun operasi kali ini akan dibuat di bawah Kesalahan Jenayah Terancang dan Sosma ke atas seluruh anggota sindiket, orang kanan serta dalang.

“Kita akan sasarkan ketua sindiket bagi memastikan isu pengedaran dan penyeludupan dadah dapat diatasi.

“Jika tidak, mungkin kita perlukan masa yang lama untuk selesaikan isu dadah, itulah fokus kita pada sindiket sekarang,” Katanya memetik Sinar Harian.

Mengulas mengenai adakah ada dalang dalam kalangan kenamaan berselindung di sebalik NGO, Ayob Khan berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Dalam serbuan pada 26 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (Esscom) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan dilakukan jam 2.45 pagi di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu berjaya menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket yang juga penaung sebuah NGO berusia 40 tahun.

Author

Pilihan Editor