CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjalankan kempen bayaran saman trafik sehingga 50 peratus bagi semua saman terpilih bermula 8 hingga 10 Disember 2023.
Pengarah JSPT, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pelaksanaan kempen itu dibuat bersempena program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani.
Bagaimanapun katanya, tawaran itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi tahun 2023 yang melibatkan saman kemalangan, kes mahkamah yang berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikomplain (non compoundable) NC.
“Pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada 8 Disember 2023 (Jumaat) dan dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada 9 dan 10 Disember 2023 (Sabtu & Ahad),” maklumnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan awal saman melalui portal dan aplikasi MyBAYAR PDRM sebelum hadir ke kaunter bayaran saman bagi mengelakkan kesesakan di lokasi sekali gus melancarkan proses pembayaran saman.