HomeBeritaJPS buka kunci air tahun depan

JPS buka kunci air tahun depan

Pasir Salak: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuka dan menanggalkan kunci air jenis pintu kepak atau flap gate di Kampung Pulau Gajah, di sini, tahun depan.

Jurutera Daerah JPS Perak Tengah, Shaiful Zakuan Mohamad berkata, pemasangan struktur flap gate itu pada asasnya bertujuan mengelakkan air Sungai Perak membanjiri kawasan kampung di hilir sungai sebagai langkah mengurangkan kawasan yang mengalami banjir.

Beliau berkata, struktur itu masih dikekalkan bertujuan sebagai langkah mengawal kemasukan air ke kawasan penempatan berhampiran yang boleh terjejas sekiranya paras sungai berubah tinggi.

Menurutnya, tumpuan utama kepada Kampung Tersusun Teluk Memali yang sering dilanda banjir apabila peralihan Monsun Timur Laut berlaku.

“JPS boleh membuka struktur flap gate yang dimaksudkan mengikut permohonan daripada wakil penduduk.

“Bagaimanapun, implikasi pada masa hadapan akan menyebabkan risiko banjir di Kampung Tersusun Teluk Memali.

“Namun, kami akan cuba mengawal struktur pintu air sedia ada secara manual (menggunakan kunci air gate lock steering yang selesai dinaik taraf) paras air Sungai Perak naik selepas itu,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan lebih 100 penduduk di empat kampung yang terjejas sumber pendapatan akibat aliran Sungai Terus yang terhalang sehingga menjadi sebu sejak 20 tahun lalu.

Majoriti penduduk yang mencari rezeki sebagai nelayan darat paling terkesan kerana tidak boleh menjalankan aktiviti perikanan.

Bagaimanapun, Shaiful Zakuan berkata, perbincangan dan perjanjian perlu dilakukan terlebih dahulu antara penduduk Kampung Tersusun Teluk Memali dengan penghulu Mukim Pasir Panjang Ulu akan sebelum JPS boleh membuka flap gate berkenaan.

“Pada dasarnya, JPS akan membuka flap gate tahun hadapan memandangkan ketika ini kami masih membuat pemantauan terhadap kawasan Kampung Tersusun Teluk Memali yang mengalami banjir teruk tahun lalu.

“Surat perjanjian bersama wakil penduduk dan penghulu Mukim Pasir Panjang Ulu perlu dilakukan bagi mengelak kejadian luar jangka berulang kembali pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Sungai Terus sudah lama tidak diselenggara, beliau berkata, pihaknya mempunyai perancangan teliti berikutan ada lebih 100 sungai yang perlu diselenggara oleh JPS dalam daerah Perak Tengah.

“Semua kerja penyelenggaraan berdasarkan kepada peruntukan semasa yang diterima oleh JPS bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran.

“Penyelenggaraan jajaran Sungai Terus sudah dilakukan hujung tahun lalu dan berdasarkan perancangan, penyelenggaraan Sungai Terus akan dilakukan tahun hadapan.

“Dakwaan penyelenggaraan di Sungai Terus dilaksanakan dua kali setahun adalah kenyataan daripada pihak kontraktor, bukan wakil JPS,” katanya.

Mengenai kerja-kerja mendalamkan Sungai Terus, beliau berkata, JPS sudah menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam bagi tujuan Projek Rancangan Tebatan Banjir Kampong Gajah Fasa 2.

Katanya, Jawatankuasa Perlantikan JPS ketika ini dalam proses melantik perunding untuk membuat penilai terhadap keperluan sesuatu projek termasuk memperdalamkan mana-mana sungai dalam seliaan JPS Perak Tengah. – Harian Metro

Authors

Pilihan Editor