HomeGaya HidupKawan belum bayar hutang? Jom cuba tips ini untuk minta cara baik

Kawan belum bayar hutang? Jom cuba tips ini untuk minta cara baik

PERNAHKAH ada kawan rapat atau kawan yang dah lama tidak bertegur sapa tiba-tiba datang untuk pinjam duit? Katanya, nak baiki motor rosak, tidak ada duit makan atau memang kesempitan.

“Dah gaji nanti aku bayar balik,” katanya.

Atas dasar kesian dan fikirkan hubungan kawan, kita pun bagi pinjam.

Beberapa minggu dan bulan telah berlalu tetapi kawan yang dipinjamkan duit itu masih tiada tanda-tanda nak bayar balik.

Sekarang, kita memerlukan duit itu kembali. Tetapi, bila nak minta mereka bayar semula duit yang dipinjam, kita pula yang rasa kekok. Takut kawan tersinggung atau putus persahabatan pula nanti.

Jadi, buat anda yang sedang bingung bagaimana mahu meminta kawan membayar semula wang yang dipinjam dengan cara baik, baca artikel ini sampai habis.

Tanya baik-baik

Selalunya, sebagai orang yang memberi kawan pinjam duit ini kita akan selalu tertanya-tanya: apa pula yang mereka fikirkan terhadap saya nanti? Adakah mereka akan cakap saya kedekut? Keadaan ini akan membuatkan kedua-dua pihak tidak selesa.

Tetapi, mari kita ingat semula bahawa mereka telah meminjam wang daripada kita, bukan kita yang memberi atau sedekah wang itu. Jadi, wajarlah untuk tuntut semula hak kita.

Apa yang akan menentukan sama ada persahabatan antara kedua-dua pihak tidak menjadi keruh dan kekok ialah cara kita meminta wang itu semula.

Jika anda berkata seperti, “saya agak kesempitan sekarang. Bolehkah awak bayar semula wang yang saya pinjamkan?”. Sepatutnya, kalau kedua-dua pihak ada akal budi atau common sense, keadaan tidak akan menjadi kekok.

Sekiranya anda tanya dengan cara negatif seperti, “Hoi! Mana duit yang aku pinjamkan minggu lepas? Kata nak bayar balik?” – memang akan bergaduhlah.

Lakukan sistem barter

Ini adalah satu lagi cara yang baik untuk mendapatkan wang kita kembali tanpa meminta sejumlah wang fizikal.

Sekiranya wang yang dipinjamkan sebanyak RM250, minta gantikan dengan barang-barang mereka dengan nilai yang sama. Sama ada kasut, topi berjenama atau patung Gundam, pastikan nilainya sama dengan wang yang mereka pinjam.

Tetapi, janganlah pula anda minta televisyen atau telefon pintar baharu. Nanti anda pula dicop sebagai kawan yang tidak ada akal budi.

Berkias

Mungkin, duit yang dipinjamkan kepada kawan anda adalah untuk sesuatu yang penting. Kalau mereka beritahu sebab untuk meminjam wang tersebut ialah bagi membaiki kereta, tanyakan perkembangan berkaitan itu.

“Macam mana dengan keadaan kereta yang awak perlu baiki itu? Semuanya sudah selesai atau belum?” Ini sepatutnya sudah cukup untuk mengingatkan tentang duit yang dipinjamkan dan mereka masih bertanggungjawab untuk membayarnya.

Tolak ajakan

Satu lagi cara untuk memberikan petunjuk bahawa anda memerlukan duit itu kembali ialah menolak ajakan mereka sekiranya diajak lepak atau pergi ke mana-mana yang menggunakan duit.

“Saya nak ikut lepak tetapi saya betul-betul kesempitan wang sekarang.” Jika rakan anda memahami isyarat, mereka akan menawarkan untuk membayar semula wang yang dipinjam atau membayar makanan apabila keluar bersama.

Bayar secara ansuran

Anda sudah tanya baik-baik tetapi mereka masih tidak mampu untuk membayar semula. Mereka mungkin benar-benar tidak mampu dan tidak dapat memberikan keseluruhan jumlah sekali gus. Untuk permudahkan urusan pembayaran hutang, tawarkan pelan ansuran.

Kalau anda merasakan kawan itu boleh dipercayai dan akan membayar sedikit demi sedikit, tiada masalah. Tetapi jika anda merasakan mereka tidak mampu memegang kata-kata, buat perjanjian hitam putih.

Minta kawan rapat lain untuk ingatkan

Jika anda agak gementar untuk mendekati mereka secara langsung, pertimbangkan untuk bertanya kepada seseorang yang rapat dengan mereka.

Mungkin pasangan, rakan lain atau ahli keluarga. Beritahulah bahawa anda tidak mahu memalukan sesiapa dengan meminta semula wang itu secara langsung, mungkin mereka akan faham dan akan mengingatkan rakan yang meminjam wang itu untuk membayar semula.

Semuanya bergantung kepada orang yang terlibat dan hubungan mereka dengan kawan yang masih berhutang dengan anda.

Semoga semuanya dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Kalau mereka masih liat dan anda sudah kehabisan cara untuk meminta wang dikembalikan semula, kongsikan sahajalah artikel ini. Mana tahu, mereka akan terus sedar diri dan membayar semula wang itu secepat mungkin. – Relevan

Author

Pilihan Editor