CYBERJAYA: Berbaki dua minggu, dunia bakal memasuki fasa baharu iaitu tahun 2024.
Jadi, tidak hairanlah jika dilihat banyak kedai yang semakin rancak memberi kalendar 2024 secara percuma kepada pengguna yang membeli di kedai mereka.
Menjadi perhatian apabila sebuah kedai kopitiam turut menawarkan kalendar sedemikian namun dengan label ‘Tahun 2023A’ sebagai ganti nombor empat.
“Kalendar 2023A kini sudah ada. Mari datang untuk dapatkan salinan anda.
“Semoga tahun 2023A anda sejahtera setiap hari,” tulis hantaran yang dikongsi kedai berkenaan menerusi Facebook rasmi mereka.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga net tidak melepaskan peluang meninggalkan reaksi mereka.
Ada sebilangan pihak beranggapan penggunaan nombor 2023A itu adalah sebahagian kandungan pemasaran kedai tersebut untuk menarik pelanggan ke kedai berkenaan.
Malah, rata-rata pengguna media sosial berbangsa Cina turut dilihat berminat untuk mendapatkan salinan kalendar itu.
Untuk pengetahuan, masyarakat Cina kurang menggemari nombor empat kerana sebutan dalam bahasa Cina berbunyi sebagai “Si” atau “Se” yang sekaan sama dengan perkataan “Si” membawa maksud mati.