IPOH: Keluarga pelajar yang dilanggar hingga maut tiba di luar Mahkamah Majistret di sini pagi ini.
Mereka tiba awal untuk mengikuti pertuduhan terhadap suspek, seorang pegawai kanan polis yang akan dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan yang hukuman mati jika sabit kesalahan.
Abdul Razak Judin, 48, berkata mereka sekeluarga mahu keadilan untuk anak saudaranya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang meninggalkan dunia di tempat kejadian Khamis lalu.
“Apa pun, kita mesti menerima kejadian ini sebagai takdir,” katanya.
Khamis lalu, Muhammad Zaharif yang menunggang motosikal dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, di sini dan maut di tempat kejadian.
Suspek yang juga pegawai kanan polis berpangkat deputi superinten akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, anggota polis berkawal di luar mahkamah pagi ini, manakala petugas media berkumpul sejak 7.30 pagi. – Berita Harian