PERUT yang kekenyangan pasti membuatkan seseorang itu sendawa dan ia adalah suatu proses normal dalam masyarakat.
Bagaimanapun, adakah anda ketahui sama ada sendawa yang dikeluarkan itu adalah normal atau sebenarnya petanda sesuatu penyakit?
Jom ketahui menerusi informasi dibawah!
1. Sendawa dan kembung perut
Tanda: Masalah pada usus besar atau ulser
Jika sendawa bersama-sama gejala gastrointestinal (GI), iaitu kembung perut, sakit perut, sembelit dan cirit-birit perlu diberi perhatian.
Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menganggarkan, satu daripada lapan orang di United Kingdom (UK) mempunyai beberapa tahap sindrom usus besar walaupun ramai yang tidak didiagnosis secara rasmi.
Sebagai alternatif, pedih ulu hati, kembung perut, loya dan sendawa boleh menunjukkan ulser perut atau dikenali sebagai ulser gastrik.
Simptom ulser perut paling biasa ialah rasa sakit yang membakar atau menggigit di bahagian tengah perut.
Ia berlaku apabila terdapat kerosakan pada lapisan yang melindungi lapisan perut daripada asid dalam perut.
Justeru, anda disarankan berjumpa doktor dikhuatiri mungkin mengalami ulser perut, terutama apabila mengalami sakit perut secara tiba-tiba dan semakin teruk
2. Sendawa dan pedih ulu hati
Tanda: Penyakit refluks gastroesophageal (GERD)
Pedih ulu hati adalah sangat biasa dan ia juga suatu keadaan dikenali sebagai refluks asid, yang berlaku apabila asid perut bergerak sehingga ke bahagian kerongkong.
Jika perkara ini berlarutan, menjadi sangat menyakitkan, kemungkinan anda mengalami GERD.
Dengan GERD, aliran balik asid perut berlaku secara kronik dan menyebabkan kerosakan kepada badan dari masa ke masa.
3. Banyak kali sendawa
Tanda: Ulser
Sendawa secara berlebihan boleh menjadi tanda jenis kanser gastrousus (GI) tertentu, seperti kanser perut, pankreas atau esofagus.
Ini berlaku apabila tumor menyekat saluran penghadaman seseorang, bermakna gas terkumpul di dalam perut.
Jadi ambil perhatian sendawa berlebihan sahaja biasanya bukan gejala kanser.
Ia lebih berkemungkinan menunjukkan kanser jika penghidapnya mengalami penurunan berat badan, demam dan pendarahan bersama-sama sendawa.
Jangan berlengah berjumpa doktor jika mempunyai tanda dan gejala kanser.
4. Sendawa berbau
Tanda: H pylori atau diet
Sendawa berbau seperti telur busuk biasanya tidak berbahaya walaupun baunya menyengat.
Menurut NHS, sendawa sulfur yang jarang berlaku mungkin disebabkan oleh sesuatu yang anda makan, terutamanya jika anda baharu sahaja makan makanan yang tinggi kandungan sulfur seperti telur.
Sendawa sulfur yang kerap, walaupun boleh menjadi tanda jangkitan dalam sistem pencernaan disebabkan oleh bakteria pylori.
Ramai tidak menyedari mereka mempunyai jangkitan H pylori kerana mereka tidak pernah sakit.
Jika anda mengalami simptom itu, doktor mencadangkan menjalani ujian. Ia boleh dirawat dengan diberi antibiotik.
Jika tidak dirawat, kadang-kadang boleh menyebabkan ulser atau kanser perut.
Makanan dan minuman tertentu juga boleh menyebabkan sendawa berbau sedikit. Minuman bergas menjadikan anda lebih gas dengan meningkatkan udara dalam perut anda.
Sayur-sayuran tertentu, seperti brokoli, kubis dan asparagus , menyebabkan gas berlebihan kerana ia mengandungi banyak serat dan boleh menghasilkan gas.
Sumber: Berita Harian