GOMBAK: Polis mengesahkan telah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam pencarian bukti kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang kini sudah memasuki Fasa ke-3.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu diambil susulan beberapa maklumat yang diperoleh untuk disemak dalam pangkalan data Interpol.
“Ada beberapa maklumat yang diperoleh, walaupun bukan konklusif tetapi ia boleh membantu siasatan kita.
“Kita (polis) masih meneruskan siasatan yang mana siasatan fasa kali ini akan tertumpu kepada rumah ke rumah di blok tertentu,”katanya memetik Kosmo pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Gombak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, tiada petunjuk baharu berjaya dikesan setakat ini dan ia merupakan cabaran buat pihaknya susulan kes pembunuhan ini bukan ‘straight forward’.
“Bagi kes melibatkan ‘secondary crime scene’ (lokasi jenayah kedua), kebiasaannya ia kurang dapat keterangan fizikal untuk kaitkan dengan penjenayah.
“Jadi, ini bukan satu kes ‘straight forward’, bagaimanapun kita telah melakukan ‘house-to-house searching’ untuk mencari bukti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 255 percakapan dari pelbagai pihak telah dirakamkan manakala sebanyak 248 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah diambil.
“Sebanyak 246 sampel DNA telah dianalisa dan lain lain telah dapat keputusan. Namun, tiada keputusan positif boleh bantu siasatan pada ketika ini.
“Kita (polis) tidak berputus asa malah masih meneruskan aktiviti pencarian bukti hampir setiap hari di kawasan tersebut serta lain-lain kawasan.
Mengulas lanjut mengenai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam), pihaknya hanya mendapat maklumat minimal dari sumber berkenaan.
“Keadaan kes ini menyukarkan polis untuk mengetahui ‘primary crime scene’ Sekiranya ada pihak mempunyai maklumat, mohon tampil buat laporan.
“Dashcam dan CCTV telah dianalisa, kita hanya dapat maklumat minimal yang boleh bantu siasatan.
“Kita bersungguh-sungguh dalam siasatan ini namun pada ketika ini, kita masih mencari petunjuk positif,”jelasnya. – Kosmo