HomeBeritaLagi 4 produk kosmetik dikesan ada racun berjadual

Lagi 4 produk kosmetik dikesan ada racun berjadual

CYBERJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi empat produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk berkenaan ialah Bestie Moisturizer Cream dan Abyra Seaweed Skin Care-Seaweed Cell Renewal Night Cream, yang masing-masing mengandungi merkuri.

Selain itu, dua lagi produk kosmetik yang terlibat ialah Gerbera Beauty-Treatment & Repairing Night Cream dan Gerbera Beauty-Whitening Night Cream yang mengandungi hydroquinone, tretinoin, betamethasone 17-valerate dan merkuri.

Beliau berkata, merkuri dilarang dalam produk kosmetik berikutan boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau janin.

Bagi produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, Dr Muhammad Radzi berkata, produk itu merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat, katanya.

Antara produk yang dibatalkan notifikasinya kerana mengandungi racun berjadual.

Beliau berkata, penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dr Muhammad Radzi menyarankan orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Author

Pilihan Editor