MELAKA: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas menggagalkan rancangannya, yang disyaki mahu menceroboh masuk sebuah rumah di Jalan Pertam Jaya, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, orang awam menyedari kelibat suspek berusia 31 tahun memanjat bumbung rumah jenis teres setingkat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota dari Balai Polis Banda Hilir bergegas ke lokasi kejadian, setelah menerima aduan dan mendapati suspek berada di atas bumbung dengan memegang sekeping atap genting.
Menurutnya, polis telah mengarahkan suspek turun untuk menyerah diri, namun dia tidak mengendahkan arahan tersebut sebelum seorang anggota polis naik ke atas bumbung rumah berkenaan.
Katanya, lelaki itu bertindak melarikan diri ke bumbung rumah yang terakhir dan meletakan atap genting di atas kepalanya sambil mengugut untuk terjun jika polis menghampiri.
“Kita (polis) meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bagi menggunakan pancuran air menghalang lelaki itu terjun.
“Namun semasa mahu memulakan pancuran air, atap genting yang dipijak suspek pecah menyebabkan dia jatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, pemeriksaan badan yang dilakukan ke atas suspek mendapati tiada barang terlarang dan suspek mengalami luka di bahagian kepala serta leher akibat terjatuh.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda,” katanya.