HomeBeritaMADA sudah tuai padi, tambah bekalan beras - Mohamad Sabu

MADA sudah tuai padi, tambah bekalan beras – Mohamad Sabu

 

KUALA LUMPUR: Tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah meredakan bekalan beras putih tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beras tempatan semakin mendapat permintaan penduduk negara ini berikutan kenaikan harga beras import hingga timbul pembelian panik baru-baru ini.

Katanya, penyelesaian itu kekurangan beras tempatan sedang dilakukan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk sepanjang masa.

“Isu ini reda. Cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi.

“Difahamkan MADA baru saja tuai padi. Proses seterusnya menjemur, mengilang sebelum beras tersedia di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Lawatan Kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesan trend pengguna beralih daripada membeli beras import kepada beras tempatan disebabkan India menghentikan eksport.

Mohamad berkata, isu keterjaminan makanan tidak akan berkesudahan termasuk bekalan ayam, telur dan mungkin selepas ini mungkin berlaku kekurangan bawang.

“Masalah membabitkan makanan ini tidak akan berkesudahan dan bekalan beras masih ada gangguan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggalakkan persatuan penduduk memohon Dana Komuniti Madani berjumlah RM1 bilion di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kerajaan sudah sediakan peruntukan itu. Jadi, kena mohon awal kerana ia boleh dimanfaatkan mulai bulan depan.

“Ia bergantung kepada kawasan Parlimen. Kalau Parlimen tidak mohon seperti Parlimen Bukit Bintang tidak ada kawasan lapang, mungkin peruntukan itu boleh dimanfaatkan Parlimen lain,” katanya.

Pada 25 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion merancakkan lagi ekonomi di peringkat desa.

Ditanya mengenai peruntukan di bawah kementeriannya, beliau menjelaskan, kementerian itu mempunyai peruntukan di bawah program keterjaminan makanan sebanyak RM400 juta.

“Peruntukan itu untuk tujuan umum, tetapi dana komuniti yang disebut dalam Belanjawan 2024 yang dikemuka oleh kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam lawatannya, Mohamad turut menggalakkan penduduk bandar untuk membabitkan diri dalam usaha keterjaminan makanan dengan membuka kebun komuniti di kawasan lapang.

Katanya, tanah lapang yang berdekatan dengan kawasan perumahan boleh dimanfaatkan dengan penanaman tanaman kontan seperti cili, serai, ulam yang sekali gus mampu memberikan manfaat kepada penduduk setempat. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor