KLANG: Datuk Seri Mohamad Sabu kekal menerajui Parti Amanah Negara (Amanah) selepas dipilih sebagai Presiden pada pemilihan parti itu hari ini.
Pemilihan Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKN) AMANAH sebaik proses pengundian bagi pemilihan parti itu berakhir.
Jawatan Timbalan Presiden Amanah disandang oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Mujahid menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Bagi tiga Naib Presiden Amanah, 27 Ahli JKN yang dipilih perwakilan parti itu hari ini memilih Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; bekas EXCO Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.
Terdahulu, penyandang Presiden Amanah itu terpilih mengisi 27 tempat sebagai Ahli JKN Amanah pada pemilihan parti hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dan menyandang jawatan itu sejak penubuhan Amanah lapan tahun lalu, memperoleh 613 undi untuk berada di kedudukan ke lapan.
Kedudukan pertama dimenangi Dr Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan, dengan 900 undi, diikuti bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, 899 undi.
Turut dipilih, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli serta Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Sementara bagi jawatan Speaker dan timbalan Speaker pula, masing-masing dimenangi Azhar Shukur dan Onn Jaafar.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Dr Zulqarnain Lukman memaklumkan, seramai 1,003 perwakilan mengundi secara dalam talian, sementara lima undi tidak dikembalikan oleh perwakilan layak, sebaik tempoh mengundi tamat.
Sementara itu, Mujahid ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai orang nombor dua parti itu berkata keputusan pemilihan lima jawatan tertinggi diputuskan secara konsensus.
“Apa yang lebih penting kita semua bersetuju supaya Amanah berada di persada politik tanah air dan dihormati kawan dan lawan. Selesai sudah proses pemilihan, hari ini saya menyarankan untuk kita berkerja memastikan Amanah berada di persada,” katanya. – Berita Harian