PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemukan dalam longkang di Jalan TSB 9, Kota Damansara, di sini, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 6.34 petang, Rabu lalu.
Menurut M Hussin Sollehuddin, siasatan awal pegawai forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menemui identiti mangsa di dalam poket seluarnya.
Beliau berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 45 tahun.
“Lelaki berkenaan ditemukan berpakaian lengkap dalam longkang dan tidak sedarkan diri.
“Si mati tinggal di kawasan gugusan Kemuning Seksyen 8 Kota Damansara dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tidak sampai 24 jam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, M Hussin Sollehuddin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ketua Polis Balai Kota Damansara, Asisten Superintendan Mohd Nasir Mustapha di talian 011-32052062 bagi membantu siasatan.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.