HomeBeritaMelaka galak pakai pelitup muka di sekolah

Melaka galak pakai pelitup muka di sekolah

MELAKA: Kerajaan negeri menasihatkan ibu bapa serta pihak sekolah supaya menggalakkan pelajar memakai pelitup muka sepanjang mengikuti pembelajaran di sekolah.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata ia susulan berlaku peningkatan kes penularan wabak COVID-19 di negeri ini sejak beberapa minggu lalu yang mungkin menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, meskipun tiada arahan rasmi, khususnya daripada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) atau Kementerian Kesihatan (KKM) berhubungan pemakaian pelitup muka, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pelajar memakai pelindung keselamatan itu.

“Tiada arahan (rasmi) pemakaian pelitup muka dalam kalangan murid serta pelajar sekolah, tapi kita galakkan mereka memakainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Melaka tersenarai tempat ketiga mempunyai kes penularan COVID-19 di negara ini selepas mencatatkan sebanyak 333 kes.

Setakat kelmarin, Selangor merekodkan angka harian tertinggi dengan 902 kes diikuti Kuala Lumpur (532), Melaka (333), Perak (132), Negeri Sembilan (127) dan Pulau Pinang (108).

Putrajaya pula merekodkan 73 kes baharu disusuli Sabah (73), Kedah (72), Pahang (62), Sarawak (57), Kelantan (40), Johor (19) dan Perlis (9).

KKM sebelum ini menjangkakan, peningkatan kes COVID-19 berikutan sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi, namun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata peningkatan kes itu juga sudah dapat dilihat sejak kebelakangan ini dan tidak membabitkan kes berisiko tinggi. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor