TUMPAT: Taktik seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita untuk mencuri wang tabung Masjid Kubang Batang, di sini tidak berhasil apabila dia dicekup ahli kariah masjid itu, pada Ahad.
Suspek, 34 tahun itu ditahan semasa sedang mencuri wang di dalam tabung masjid berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ibrahim Husin berkata, tiga ahli kariah masjid itu yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melihat seorang individu dalam keadaan mencurigakan telah menceroboh masuk melalui pintu belakang masjid.
Menurutnya, tiga anggota Rela itu membuat pemerhatian selama 15 minit dengan mengekori pergerakan suspek.
“Mereka mendapati suspek merupakan seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita dan memakai serban sedang mencuri duit tabung masjid itu.
“Suspek bertindak melarikan diri, namun tiga anggota Rela itu sempat menangkap lelaki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ibrahim memberitahu, pemeriksaan ke atas suspek menjumpai wang sebanyak RM405 yang dipercayai dicuri dari tabung masjid itu.
Katanya, seutas dawai disaluti pita pelekat dihujungnya yang dipercayai untuk memancing wang dari dalam tabung masjid turut dirampas bersama suspek.
“Siasatan mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu tiga kes mencuri dan satu kes menyamar sebagai penjawat awam,” ujarnya.
Tambah Ibrahim, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.