KUALA LUMPUR: Adakah padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) sekali lagi akan menjadi ‘mangsa’ susulan penganjuran konsert sekali gus mengulangi ‘dejavu’ ketika final Piala Malaysia 2023, Jumaat lalu?
Ini selepas stadium terkemuka negara itu akan menganjurkan konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari dan stadium sama dijangka menjadi venue untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman, 26 Mac nanti.
Garis masa ini pasti menguji kemampuan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi memastikan padang benar-benar berada pada tahap terbaik dalam tempoh kira-kira sebulan antara dua acara terbabit.
Sudah tentu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu ‘mimpi ngeri’ berulang dan mahu keadaan padang berada pada piawaian tertinggi apatah lagi ia membabitkan perlawanan antarabangsa.
Bagaimanapun, jika padang SNBJ rosak teruk, FAM masih boleh mengambil langkah alternatif dengan menganjurkan aksi kelayakan itu di venue lain seperti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ataupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Terdahulu, PSM dihentam susulan kegagalan menyediakan padang yang terbaik untuk aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) selepas menganjurkan konsert Coldplay, 22 November lalu.
Selepas penganjuran konsert itu, padang SNBJ menjadi bagaikan ‘kuih seri muka’ apabila padang tidak berada dalam keadaan terbaik sehingga ditegur pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Situasi itu memaksa PSM memohon maaf atas kerosakan padang SNBJ dan mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert terbabit. – Berita Harian