HomeBeritaMahkamah & JenayahPemandu Grab pukul pelancong warga China ditahan polis

Pemandu Grab pukul pelancong warga China ditahan polis

KUANTAN: Pemandu kenderaan e-hailing yang dipercayai memukul seorang penuntut warga China berusia 22 tahun ditahan polis setelah tampil menyerah diri, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, lelaki berusia 32 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 7.15 malam.

Menurutnya, soal siasat awal mendapati lelaki itu mengaku terlibat kes terbabit.

“Dalam kejadian berlaku di hadapan hotel penginapan di Jalan Bukit Sekilau di sini, mangsa dipukul kerana suspek mendengar mangsa menutup pintu kereta dengan kuat.

“Suspek mengamuk dan mengambil kerusi lipat kecil daripada kenderaan lantas menyerang serta memukul pengadu beberapa kali menyebabkan mangsa takut dan melarikan diri masuk ke dalam hotel,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Jelasnya, suspek pernah terlibat kemalangan dan selepas melakukan pembedahan di tempurung kepala menyebabkan memorinya berada dalam tahap kurang baik.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Setakat ini, soal siasat ke atas suspek masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian tersebut membabitkan seorang penuntut Universiti Putra Malaysia dipukul sehingga cedera di beberapa bahagian badan dan muka oleh seorang pemandu Grab ketika datang melancong ke negeri ini, Sabtu lalu. – Utusan

Authors

Pilihan Editor