ALOR SETAR: Seorang penjenayah yang dipercayai terbabit dalam tujuh kes samun di beberapa kedai emas di tiga negeri sejak 2009, akhirnya berjaya ditahan polis.
Lelaki tempatan berusia 54 tahun itu ditahan Selasa lalu, susulan jenayah samun terbaharu dilakukannya di sebuah kedai emas di Jalan Langgar, di sini pada 3 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd Noor, berkata dalam kes itu, suspek bersenjatakan senjata api jenis ‘pump gun’ dan sebilah kapak, memecahkan cermin kabinet pameran sebelum melarikan dua dulang berisi 32 utas rantai emas.
“Bagaimanapun tiada sebarang tembakan dilepaskan suspek dalam kejadian itu dan anggaran kerugian dianggarkan RM178,000.
“Siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), iaitu menunjukkan senjata api yang berniat mendatangkan ketakutan mati atau cedera sewaktu melakukan jenayah samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPK Kedah berjaya menahan suspek pada 12 Disember lalu di sini.
Beliau berkata, hasil soal siasat membawa kepada penemuan selaras ‘pump gun’ jenis Remington, dua pucuk pistol bersama bersama kelopak jenis sigsauer, sepucuk pistol bersama kelopak jenis Lorico Model 213.
“Turut ditemui 104 butir peluru 9 milimeter, 32 butir peluru penabur 12 nobel sport, sebilah hulu kapak, sebuah mesin pelebur emas bersama dua bongkah besi acuan. Selain itu, sebuah Proton Wira turut dirampas bersama wang tunai RM5,500 untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, senjata api itu ditemukan dalam serbuan di rumah suspek terbabit dan pihaknya percaya ia digunakan dalam kes samun dilakukan sejak 2009.
“Hasil siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam kegiatan kongsi gelap sebelum ini, namun sekarang menjalankan perniagaan membuat gazebo dan pada masa sama, samun kedai emas,” katanya.
Abu Samah berkata, suspek dipercayai terbabit dua kegiatan samun di Perlis, masing-masing di Simpang Empat pada 2009 dan Arau 2019, di Kedah membabitkan Changlun pada 2015, Sungai Petani pada 2018 dan Alor Setar pada 2019, selain di Pulau Pinang pada 2015.
Katanya, suspek dipercayai banyak melakukan kegiatan samun kedai emas secara solo yang rata-rata dilakukan dengan pantas seperti di Alor Setar yang hanya mengambil masa tiga minit, kecuali kes pertama pada 2019 secara berkumpulan.
“Susulan tangkapan itu, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206). Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan tidak kurang enam sebatan.
“Dalam kejadian itu juga, polis turut menahan dua lagi suspek, lelaki tempatan berusia 52 dan 54 tahun di Perai dan Georgetown di Pulau Pinang pada 12 hingga 14 Disember lalu. Mereka disyaki berperanan sebagai pembeli emas hasil samun suspek pertama.
“Dengan penahanan ketiga-tiga suspek terbabit, Polis Kedah percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun bersenjata api kedai emas di Kedah dan Perlis. Semua mereka direman sehingga esok,” katanya. – Berita Harian