KUALA SELANGOR: Penuntut Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya maut dengan kepalanya digilis jengkaut di Jalan Bukit Badong, Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemuda berusia 19 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, nahas membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Yamaha Lagenda dan jengkaut.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa cuba memotong dua kenderaan di hadapannya yang berada di lorong kiri dan kanan.
“Semasa cuba memotong kedua-dua kenderaan, penunggang motosikal yang berada di tengah dipercayai hilang kawalan lalu jatuh di bahagian tengah jengkaut.
“Akibat pelanggaran itu, kepala mangsa digilis tayar belakang kenderaan berat terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ramli berkata, penunggang motosikal parah di kepala manakala pemandu jengkaut berusia 39 tahun tidak cedera.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Harian Metro