HomeBeritaMahkamah & JenayahPenyelia kilang didakwa lakukan amang seksual terhadap anak kandung

Penyelia kilang didakwa lakukan amang seksual terhadap anak kandung

 

BUTTERWORTH: Penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 40 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Dia berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga anak kandungnya.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Nibong Tebal, jam 12 tengah hari, 22 September lalu, dan jam 3 petang, 13 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh disebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan mangsa masih tinggal bersama dengan tertuduh.

Namun tertuduh dalam rayuannya meminta jaminan ditawarkan dengan alasan dia yang berpendapatan RM3,000 sebulan perlu menanggung isteri, dua anak berusia lima dan 15 tahun serta seorang ibu yang menghidap kanser.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor