HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis buru 2 penjenayah samun Mercedes di Klang

Polis buru 2 penjenayah samun Mercedes di Klang

KLANG: Dua penjenayah diburu polis selepas menyamun seorang ejen hartanah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM6,000 di laluan Persiaran Pegaga, di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, mangsa berusia 40 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang jari tangan kiri dan calar di lengan akibat kejadian tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa telah mengeluarkan sejumlah wang tunai dari mesin pengeluaran automatik (ATM) dari sebuah bank di Jalan Meru sebelum kejadian berlaku.

Kamalariffin berkata, mangsa kemudian menghala ke Bukit Tinggi dengan menaiki kereta jenis Mercedes untuk berjumpa dengan rakannya.

“Semasa memberhentikan kereta di Persiaran Pegaga, telah datang dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang dan kayu besbol memecahkan cermin pintu kereta sebelah pemandu dan penumpang hadapan.

“Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan beg komputer riba selepas dipaksa suspek tersebut sebelum penjenayah berkenaan melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Yaris berwarna silver,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, tular di media sosial video insiden samun berdurasi 56 saat, memaparkan kedua-dua suspek berpakaian gelap memberhentikan dan menyerang kereta yang dipandu mangsa ketika jalan sesak di lokasi kejadian.

Kamalariffin berkata, usai kejadian tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dilaksanakan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah ini di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor