CYBERJAYA: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun dilapor hilang sejak Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Zayn Rayyan Abdul Matiin kali terakhir berada di rumah beralamat Blok R, Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 tengah hari.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, polis menerima laporan kehilangannya pada 6.36 petang semalam.
“Kanak-kanak lelaki berkenaan (kali terakhir) dilihat memakai baju kemeja-T putih berkolar berlencana SK Damansara Damai 2, berseluar sukan hitam dan kasut sekolah hitam,” katanya.
Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran.
Sementara itu di Facebook, kelihatan sebilangan warga net turut membantu menyebarkan poster hebahan kes hilang Zayn Rayyan.
Malah, Ibu kepada Zayn turut memaklumkan orang ramai bahawa anaknya tidak boleh bercakap.
“Dia tak boleh bercakap. Jika nampak, sila pegang dia dulu ya dan terus hubungi saya,” titipnya.