HomeBeritaPolis selamatkan 'dua hamba' di Kundang, Rawang

Polis selamatkan ‘dua hamba’ di Kundang, Rawang

GOMBAK: Dua pekerja asing warga Indonesia dan Myanmar disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan menerusi Ops Bersepadu TIP di kawasan Perindustrian Kundang, Rawang semalam.

Kedua-dua mangsa terbabit diselamatkan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kedua-dua mangsa dipercayai dipaksa bekerja selama 12 jam setiap hari.

Serbuan jam 4.10 petang itu dijalankan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor.

“Temubual awal dijalankan dengan menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar serta tidak menerima gaji lebih empat bulan.

“Didapati seorang lelaki Indonesia yang sudah bekerja sekitar setahun didapati kehilangan jari tengah di tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja dan berlaku pengabaian oleh majikan kerana tidak memberi rawatan sepatutnya malah dipaksa untuk terus bekerja,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati premis itu beroperasi selama setahun tanpa lesen malah turut menggajikan PATI bagi kerja-kerja memproses bahan plastik terpakai dari China.

“Hasil pemeriksaan berjaya membuat tangkapan 15 orang dan menyelamatkan dua mangsa pemerdagangan manusia warga Indonesia dan Myanmar.

“Tangkapan PATI terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita merangkumi tiga warga Myanmar, Bangladesh (satu), China (empat), dan Indonesia (tujuh,” katanya.

Semua pekerja terbabit tidak dibenarkan keluar dari premis sesuka hati berikutan pintu utama hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh yang dipegang oleh seorang penjaga.

Menurutnya, penjaga premis yang juga berperanan sebagai penyelia kilang itu ditahan bersama seorang lagi suspek dipercayai pembantunya.

Semua PATI dan suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor