HomeBeritaRemaja maut disambar buaya

Remaja maut disambar buaya

 

KUCHING : Mayat remaja lelaki dilaporkan hilang selepas disambar buaya di sungai di Samariang, di sini, semalam ditemukan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata mayat mangsa Mohd Fakhrul Zaini, 15, ditemui oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya di hilir sungai itu pada jam 11 pagi tadi.

Menurutnya, mayat ditemui di lokasi kira-kira dua kilometer dari mangsa disambar buaya petang semalam.

“Mayat mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan pengecaman oleh keluarga mangsa pada jam 11.10 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, mangsa yang berasal dari Kampung Moyan Laut, bersama tiga rakannya turun ke sungai untuk melepaskan jala yang tersangkut.

Difahamkan pada mulanya mangsa memancing di tebing sungai manakala rakannya menjala.

Apabila jala tersangkut, mangsa membantu rakannya untuk melepaskan jala itu lalu disambar buaya ketika itulah buaya menyambarnya dan kemudian diheret ke hulu sungai.

JBPM Sarawak menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.27 petang selepas menerima panggilan daripada rakan mangsa.

Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Petra Jaya) dikejarkan ke lokasi di Bandar Baru Samariang sebaik menerima panggilan itu.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman, berkata ia adalah mangsa ketiga yang disambar buaya di Sarawak tahun ini.

Beliau berkata, dua lagi kejadian sebelum ini berlaku di Oya, Dalat dan Skrang di Betong.

Menurutnya lagi, dalam tempoh 2018 hingga tahun ini, seramai 32 mangsa maut disambar buaya di Sarawak.

Jumlah tertinggi direkodkan pada tahun 2021 apabila seramai sembilan mangsa disambar buaya, diikuti 2020 seramai lapan orang, 2018 (7), 2022 (4), 2023 (3) dan 2019 (1). – Berita Harian

Author

Pilihan Editor