MIMPI ngeri buat sepasang pegantin apabila majlis yang sepatutnya dipenuhi kebahagiaan ‘rosak’ dek sikap pengusaha katering yang menipu.
Perkara itu susulan keluarga pengantin terbabit mendakwa rugi hampir RM13,000 akibat ditipu dengan pakej kenduri kahwin yang ditawarkan oleh sebuah pengusaha katering di Jempol, Negeri Sembilan.
Abang kepada pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, berkata, kejadian itu adalah kali pertama dialami mereka sekeluarga yang tertipu dengan pakej katering berkenaan.
Katanya, disebabkan itu, mereka sekeluarga terpaksa memasak sendiri hidangan, selain mencari set kerusi meja untuk diletakkan di dalam dewan yang sudah ditempah.
“Hari ini merupakan majlis perkahwinan adik saya tetapi sebarang persediaan masih belum dibuat. Individu yang membuat perjanjian dengan pengantin juga sudah melarikan diri, dan tidak dapat dihubungi.
“Katerer yang ditempah oleh adik untuk kenduri. Banyak kali kami call (telefon) tapi tiada sebarang respons. Pening kami nak fikir.
“Jadi kami decide (putuskan) adik beradik (sembilan beradik) untuk masak sendiri. Hanya kemampuan kami untuk siapkan dalam anggaran 400 hidangan. Itupun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah dan ulam-ulaman,” katanya memetik Kosmo pada Isnin.
Susulan kejadian, adiknya, Raudhah Sakinah, 26, membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol malam sebelum majlis perkahwinan bagi tindakan lanjut.
Tambah Burhanuddin, adiknya terpaksa menggunakan khidmat pihak lain untuk menyediakan pelamin dengan bayaran RM3,000, manakala kos untuk menyediakan lauk-pauk pula sebanyak RM3,000 untuk 400 hidangan sahaja, sedangkan perancangan asal adalah 1,000 hidangan.
Sebelum ini, tular perkongsian keluarga berkenaan apabila majlis kahwin adik perempuan mereka tidak berlangsung seperti yang dirancang iaitu dengan kehadiran pihak katerer.
Bagaimanapun, majlis berjalan dengan lancar apabila kesemuanya sepakat membuat persiapan bagi memastikan tetamu hadir disajikan juadah serta mempunyai tempat duduk dan makan.