HomeBeritaPolitikRozi Mamat, Onn Hafiz dilantik Pengerusi UMNO Terengganu, Johor

Rozi Mamat, Onn Hafiz dilantik Pengerusi UMNO Terengganu, Johor

KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baharu yang berkuat-kuasa serta merta.

Pelantikan Rozi yang juga Setiausaha UMNO Negeri itu bagi menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Said yang melepaskan jawatan berkenaan.

Selain Rozi, turut diumumkan pelantikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, juga berkuat kuasa serta merta.

Pelantikan dua jawatan itu dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di menerusi Facebook.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang berkuat-kuasa serta merta.

“Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Rozi Mamat yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang berkuat-kuasa serta merta.

“Mewakili keluarga besar UMNO juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan YBhg (Yang Berbahagia) Datuk Seri Ahmad Said atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin UMNO Johor dan UMNO Terengganu selama ini.

“Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air,” kata Asyraf Wajdi.

Sebelum ini sudah timbul laporan bahawa jawatan Ahmad Said di Terengganu akan diserahkan kepada Rozi Mamat.

Menurut sumber dalaman UMNO, Rozi yang juga Setiausaha UMNO Negeri akan menyandang jawatan itu berikutan Ahmad Said dijangka melepaskan jawatan itu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu lalu.

“Keputusan itu diambil setelah kedudukan UMNO Terengganu semakin lemah sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

Gesaan Ahmad Said berundur kerana UMNO Terengganu lemah

Sebelum ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid menggesa Ahmad Said meletak jawatan selepas semua 32 calon BN yang bertanding pada PRN Ogos lalu mengalami kekalahan.

Wan Ahmad berkata, Ahmad Said sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan bekas Menteri Besar Terengganu perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk dialami UMNO/BN.

Selain itu, BN juga kalah di semua lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November tahun lalu.

Pada PRK Parlimen Kemaman, Sabtu lalu calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778 undi. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor