HomeSukanSalah dikecam muat naik mesej Krismas

Salah dikecam muat naik mesej Krismas

MOHAMED Salah teruk dikecam peminat beragama Islam, selepas bintang Liverpool itu memuat naik mesej Hari Krismas.

Menerusi hantaran di media sosialnya, pemain Muslim di Liga Perdana Inggeris itu memuat naik foto pokok Krismas berserta kapsyen berkaitan dengan konflik Palestin-Israel, sebelum mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada pengikutnya.

Tulis Salah dalam hantarannya: “Krismas ialah masa untuk keluarga berkumpul dan meraikannya. Dengan perang yang sedang berlaku di Timur Tengah, terutama kematian dan kemusnahan di Gaza, Krismas kali ini disambut dengan hati yang berat.

“Kami merasai keperitan dialami keluarga-keluarga yang meratapi kehilangan orang tersayang. Tolong jangan lupakan mereka dan jadikan kesengsaraan mereka satu kebiasaan. Selamat Hari Krismas.”

Tangkap layar hantaran Salah berkaitan Hari Krismas di laman X.

Umat Islam tidak merayakan Krismas dan pemain berusia 31 tahun itu pernah dikritik tahun lalu, selepas memuat naik gambarnya bersama keluarga di hadapan pokok Krismas.

Tahun ini, pemain berasal dari Mesir itu sekali lagi mengundang kritikan peminat gara-gara ucapan Hari Krismas tersebut.

Seorang peminat menyifatkan perbuatan Salah sebagai memalukan dunia Islam dan ada juga yang kecewa dengan tindakan tersebut.

“Perbuatan ini salah. Kamu Islam dan bukan Kristian. Perayaan kita adalah pada April akan datang. Memalukan,” tulis seorang peminat seperti dilapor MailOnline.

Seorang lagi individu yang mendakwa sebagai penyokong Arsenal berkata: “Mo Salah, saya sangat meminati anda sebagai peminat Arsenal. Saya menilai anda sebagai pemain cemerlang dan sentiasa memberi inspirasi kepada saya.

“Namun, selepas melihat hantaran ini, saya tidak lagi boleh menilai anda sebagai model. Anda mengecewakan saya. Jika anda tidak memadamkan hantaran ini, saya perlu berhenti mengikuti anda.”

Salah merupakan antara bintang sukan Muslim terkemuka di dunia berikutan persembahan memberangsangkan ditunjukkannya dalam dunia bola sepak.

Dia berada pada prestasi sangat baik untuk Liverpool pada musim ini dan dikaitkan dengan khabar angin perpindahannya ke kelab Arab Saudi.

Sehingga kini, Salah telah menjaringkan 16 gol dan mencatatkan lapan bantuan menerusi 25 perlawanan yang disertainya.

Author

Pilihan Editor