CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan bahawa, tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan negara supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.
Hal ini kerana Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, negara ini yang sudah mencapai 66 tahun kemerdekaan masih mengekalkan orang Melayu sebagai Perdana Menteri.
Jelasnya, rahsia utama pencapaian tersebut adalah sifat kematangan, kebijaksanaan dan kepimpinan kaum itu sendiri.
“Selagi pemimpin Melayu adil, inklusif, matang dan bijaksana, kaum lain akan beri kepercayaan terus kepada orang Melayu jadi PM.
“Jika kepimpinan Melayu didokong oleh orang tidak matang dan tidak bijaksana, maka bukan Melayu tidak perlu tunggu 100 tahun lagi untuk jadi Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Terdahulu, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu berbangkit selepas veteran DAP,Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Mohd Puad menganggap desakan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengekalkan Perdana Menteri berbangsa Melayu sebagai tidak bijak.
“Pemimpin PN (Perikatan Nasional) ambil peluang untuk panaskan lagi isu Perdana Menteri bukan Melayu yang dimainkan oleh (Tan Sri) Lim Kit Siang.
“Tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan negara. Sudah 66 tahun Malaysia merdeka. Orang Melayu kekal jadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia tidak perlu meniru situasi politik di negara Fiji yang mengakibatkan penggulingan Perdana Menteri, Mahendran Choudary oleh Jeneral Sitiveni Rabuka pada tahun 2000 atas faktor politik kaum.
“Mahendran Choudary etnik minoriti India pernah jadi Perdana Menteri Fiji. Partinya menang pilihan raya. Jeneral Rabuka buat ‘coup detat‘ (rampasan kuasa) agar etnik Fiji dapat balik jawatan Perdana Menteri.
“Apakah politik tidak bijaksana itu mahu dicontohi? Tidak perlulah PN mainkan isu ini untuk raih sokongan orang Melayu. Lupakanlah kaedah ‘tebuk atap’ atau ‘langkah’. Itu pun jenis ‘coup detat‘ juga,” katanya.