KOTA KINABALU: Tahanan polis yang diburu selepas melarikan diri dari Lokap Berpusat Kepayan, di sini, Sabtu lalu, berjaya ditahan semula, hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, suspek berusia 33 tahun itu diberkas semula pada jam 11.50 pagi selepas 48 jam melarikan diri.
Katanya, suspek berjaya dikesan bersembunyi di sebuah pondok usang di kawasan hutan simpan berhampiran Mimpian Jadi Resort, Tuaran.
“PDRM Sabah merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan oleh orang awam sehingga suspek berjaya diberkas.
“Suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada jam 4 petang tadi untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu, tahanan polis Nazri Hassan, melarikan diri ketika diiring oleh anggota petugas lokap ke bilik siasatan untuk tujuan soal siasat.
Suspek dilihat memanjat pintu jeriji lokap melalui tingkap di ruang senaman untuk keluar dari bangunan lokap. – Harian Metro