HomeBeritaTetapkan hanya satu kementerian urus isu warga asing

Tetapkan hanya satu kementerian urus isu warga asing

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang menetapkan hanya satu kementerian yang perlu dipertanggungjawab untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan warga asing.

Ia bagi memastikan tiada pertindihan peranan serta tugas selain dapat membanteras daripada berlaku ketirisan dan rasuah di negara ini.

Memberitahu Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, buat masa ini hal berkaitan kemasukan dan pekerjaaan membabitkan warga asing diuruskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia.

Justeru, katanya, adalah penting untuk membenarkan hanya satu agensi mengendalikan keseluruhan sistem pemprosesan penggajian pekerja asing daripada peringkat pengambilan sehingga penghantaran pulang di bawah sistem tunggal.

Jelas beliau, ia juga dapat memastikan terdapat hanya satu maklumat pangkalan data pekerja asing selain memudahkan majikan hanya perlu berurusan dengan satu agensi dan sistem.

“Perkara itu perlu dimuktamadkan agar isu berkaitan pengambilan warga asing dapat dilakukan dengan lebih telus.

“Hal berkaitan penguatkuasaan boleh dipertanggungjawabkan di bawah agensi-agensi keselamatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Shahul Hamid, operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu dilakukan secara berterusan dan bukannnya sekadar bermusim.

Ujarnya, setiap agensi perlu bekerjasama bagi menangani isu kebanjiran warga asing selain mengurangkan kadar jenayah apabila PATI cenderung terlibat dengan pelbagai kesalahan yang melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan peranan warga asing dalam keperluan sektor perindustrian dan infrastruktur di negara ini.

“Namun operasi ini dapat mengesan majikan yang melanggar undang-undang dengan menggajikan PATI.

“Tindakan berat perlu diambil bagi mereka mencabuli kedaulatan negara hanya kerana rakus mengaut keuntungan mudah dan besar,” ujarnya.

Khamis lalu, operasi secara besar-besaran kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan kekuatan dari unit di bawah KDNKA iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).

Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, di sini, digempur bermula pukul 11 pagi, selain pemeriksaan sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan tentang kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing. – Utusan

Authors

Pilihan Editor