KUALA LUMPUR: Penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor bukanlah suatu keperluan mendesak.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, fokus utama kerajaan kini adalah kepada penyelesaian isu-isu yang melibatkan rakyat terutama dalam menangani kos sara hidup.
Katanya, perkara yang penting adalah rakyat mendapat manfaat daripada kerajaan sedia ada.
“Ini adalah soal bagaimana kita nak bantu rakyat. Sama ada tubuh atau tidak tertubuh Kerajaan Perpaduan, rakyat cuma nak tengok kerajaan ini stabil atau tidak. Sekiranya kerajaan stabil dan berjalan dengan baik maka saya rasa tidak ada masalah.
“Bagi saya tidak ada keperluan untuk mendesak Johor tubuh Kerajaan Perpaduan atau tidak. Yang paling penting hari ini adalah rakyat nak tengok kerajaan mentadbir dengan baik,” katanya pada Program Pelepasan Misi Bantuan Banjir Pergerakan Pemuda UMNO Ke Pantai Timur di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Pemuda UMNO turut menyalurkan bantuan banjir sebanyak RM40,000 ke Kelantan dan Terengganu bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Beliau mengulas kenyataan Amanah Johor yang menuntut suatu isyarat dihantar agar kerajaan perpaduan terbentuk di Johor, pada konvensyen parti itu baru-baru ini.
Di Dewan Undangan Negeri Johor, BN mendominasi dengan 40 kerusi, manakala Pakatan Harapan menduduki 12 kerus yang mana 10 wakil rakyat DAP manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Sementara itu, berhubung bantuan banjir berkenaan, Akmal berkata, ia merangkumi makanan kering, air mineral, kelengkapan mandian dan sebuah bot beserta enjin bagi memudahkan urusan penyalurannya di sana.
Katanya, gerakan tersebut turut menggabungkan gerak kerja Skuad Sabil serta 40 hingga 50 sukarelawan bagi memudahkan misi kemanusiaan ini.
“Pada malam ini, rombongan ini dijadualkan disambut oleh Skuad Sabil di Pasir Puteh, Kelantan sebelum memulakan agihan bantuan esok di Besut, Terengganu.
“Fasa pertama fokus pada penyediaan bantuan segera sementara fasa kedua bermula selepas banjir surut menitikberatkan pada pembersihan rumah dan tempat ibadat,” katanya. – Utusan