HomeBeritaTiga beranak maut nahas bertembung treler di Kuala Lipis

Tiga beranak maut nahas bertembung treler di Kuala Lipis

CYBERJAYA: Seorang suri rumah dan dua anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung sebuah treler di kilometer 17 Jalan Lipis-Benta, di Penjom dekat Kuala Lipis, Pahang awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, nahas pada 2.25 pagi itu menyebabkan kesemua mangsa yang menaiki Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mereka yang meninggal dunia ialah Nor Faizah Ridzuan, 34, yang beralamat di Kok Lanas, Kelantan dan dua anaknya Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10, serta Muhammad Hafiy Azman, tiga tahun. 

“Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan semasa melalui selekoh menyebabkannya masuk ke laluan bertentangan dan merempuh treler tersebut. 

“Kemalangan menyebabkan kereta itu diseret treler dan merempuh besi penghadang jalan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Azli berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan dari ibu negara. 

Pemandu treler berusia 48 tahun tidak cedera dalam kejadian itu. 

Mayat tiga beranak itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Author

Pilihan Editor