PETALING JAYA: Sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang hanya berbaki kurang lima hari lagi namun keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil terus menjadi persoalan.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah berkongsi gambar keadaan semasa padang di laman Instagram miliknya, hari ini, dengan kapsyen dituju kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac.
Menerusi gambar itu, menyaksikan keadaan padang yang bakal menjadi venue perlawanan akhir itu, dilihat masih dalam proses baik pulih selepas mengalami kerosakan susulan konsert Coldplay, minggu lalu.
“Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Kelihatan formula dilakukan Hans Isaac berkesan,” tulis Tunku Ismail.
PSM sebelum ini memberi jaminan keadaan padang akan kembali pulih dan dapat digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT menentang Terengganu, dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini.- Utusan