CYBERJAYA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan pendirian parti itu bawah akan terus memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, UMNO sebulat suara untuk menguatkan asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Jelasnya, perkara itu merangkumi perjanjian yang telah dimeterai terutamanya berkenaan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi.
“Bagi mempertingkatkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia, mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri-negeri bermula Januari 2024.
“Mesyuarat juga memperakukan bahawa semua Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN UMNO akan terus mendukung pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Perakuan ini sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 24 November 2022 dan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari 2023,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Maklumnya lagi, UMNO juga akan mengadakan Kolokium Khas Bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera pada 6 Januari 2024.
Jelasnya, dalam kongres berkenaan akan dibentangkan hala-tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk orang Melayu di Malaysia.