HomeBeritaMahkamah & JenayahWanita bujang jadi ketua gengster kes samun di Perak

Wanita bujang jadi ketua gengster kes samun di Perak

SIAPA sangka, seorang wanita bujang berusia 30 tahun merupakan dalang utama dalam satu geng samun bersenjata parang yang berlaku di Taman Indah Jaya, Teluk Intan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sembilan suspek termasuk wanita itu yang terbabit kejadian samun barang kemas dan kereta milik seorang lelaki warga emas.

Menurutnya, polis berjaya menahan wanita terbabit di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, yang turut mengakui menjadi penyalur maklumat mengenai mangsa lelaki warga emas yang tinggal berseorangan.

Maklum beliau, semua tujuh suspek lelaki dan dua suspek wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan, Selangor dan Kuala Lumpur antara 29 November hingga 3 Disember lalu.

“Hasil soal siasat terhadap wanita itu membawa kepada penahanan lapan lagi individu dengan semua mereka didapati positif dadah jenis methaphitamine dan mempunyai satu hingga 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Turut dijumpai, semua barang kes iaitu dua bilah parang, sebuah kereta Perodua Axia, dua rantai emas berserta loket, sebentuk cincin, sepasang subang, seketul emas yang dileburkan dan resit pajak gadai.

“Nilai kerugian mangsa sebanyak RM60,000,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Selasa.

Tambah Ahmad Adnan, semua suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan melarikan kenderaan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
“Polis percaya kumpulan samun ini baru saja aktif. Kes dianggap selesai dengan penahanan semua suspek dan penemuan semua barang kes,” ujarnya.

Pada 22 November lalu, seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang juga bekas pengawal keselamatan cedera di bahagian jari telunjuk tangan kanan akibat ditetak dan menerima lima jahitan di Hospital Teluk Intan.

Mangsa yang tinggal berseorangan selepas kematian isteri terpedaya dengan suspek menyamar sebagai tukang rumah sebelum membuat pintu pagar.

Author

Pilihan Editor