CYBERJAYA: Seramai 238 orang warga asing ditahan dalam Ops Kutip yang dilancarkan oleh Jabatan Imigresen (JIM) di kawasan yang terkenal sebagai ‘Mini Dhaka’ di pusat bandar Kota Bharu, pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dengan kawasan tumpuan adalah sekitar Jalan Dato’ Pati merangkumi Hentian Bas Kota Bharu, hentian teksi dan Pasar Pokok Pinang.
Menurutnya, operasi dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Kelantan.
“Bertindak atas hasil risikan dari Bahagian Penguatkuasa, JIM Kelantan telah membuat penahanan dan pemeriksaan terhadap warga-warga asing di sekitar bandar Kota Bharu.
“Dalam operasi ini kita berjaya menahan 122 warga Myanmar termasuk tiga wanita dan empat kanak-kanak.
“antara yang paling ramai ditahan dalam operasi itu adalah 76 lelaki warga Bangladesh, 14 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia selain 13 lelaki Nepal,” katanya seperti dilapor Kosmo! Online.
Sementara itu, baki warga asing yang dicekup adalah lima lelaki dan seorang wanita warganegara Thailand, tiga lelaki warga Pakistan dan tiga lelaki warga India.
Nik Akhtarulhaq berkata, Ops Kutip yang dilaksanakan JIM Negeri Kelantan menumpukan titik-titik panas atau kawasan tumpuan warga asing seperti kes Little Dhaka yang menggegar negara baru-baru ini.
Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan tinggal lebih masa di negara ini.