CYBERJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji bagi tahun ini mulai Jumaat.
Menurut TH, bakal haji perlu mencukupkan bayaran bagi mengerjakan ibadah itu serta lulus pemeriksaan kesihatan, sebelum menjawab surat tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau mengunjungi mana-mana cawangan TH berdekatan bagi kes-kes tertentu.
Selain itu, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah dalam kalangan B40 dan M40 pada tahun ini, meskipun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji.
Jelasnya, kos yang dikenakan kepada bakal haji Muassasah bagi musim haji tahun ini meningkat sebanyak 8 peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu.
Justeru, katanya, kadar bayaran bagi bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang.
Katanya, kadar itu mengambil kira keprihatinan terhadap bakal haji kumpulan B40, yang mana sebanyak RM1,000 seorang akan ditanggung kerajaan.
“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, TH berkata, bayaran haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat tersebut menelan kos sebanyak RM19,152 seorang.
Menurutnya lagi, bakal haji kumpulan tersebut akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji.
Bagi kumpulan T20, bayaran penuh kos menunaikan haji dikenakan sebanyak RM33,300 seorang.
“Perbelanjaan atau kos menunaikan haji meliputi seluruh rantaian perkhidmatan
haji.
“Ini adalah termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di Tanah Air dan di Tanah Suci termasuk operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji, dan lain-lain kos operasi,” katanya.
Sementara itu, bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah perlu membayar kos haji secara penuh.
Tambahnya, rayuan sebagai mahram kepada jemaah, rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia atau pembantu kepada jemaah kurang upaya yang telah terpilih menunaikan haji tidak perlu membayar penuh kos berkenaan.
Berdasarkan kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi, seramai 31,600 orang akan menerima surat tawaran haji berbanding dengan hampir empat juta pendeposit TH yang telah mendaftar dan masih menunggu untuk giliran haji.
TH juga dijangka akan membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji 2024.
Bagi pemilihan bakal haji, TH akan mengutamakan bakal haji yang berbaki pada
tahun 2023 dan mereka yang memiliki giliran pada 2024.
Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.
Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI akan dibuka mulai 26 Januari 2024.