HomeBeritaMahkamah & Jenayah6 'pelakon' wanita bersama 'Hot Daddy' dituduh hari ini

6 ‘pelakon’ wanita bersama ‘Hot Daddy’ dituduh hari ini

KUALA LUMPUR: Enam ‘pelakon’ wanita akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pagi ini kerana dipercayai terbabit rakaman aksi seks bersama seorang lelaki tempatan dikenali ‘Hot Daddy’ dan menjualnya di media sosial.

Difahamkan, semua wanita berkenaan berusia antara 21 hingga 36 tahun itu diberkas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, minggu lalu menerusi fasa kedua Op Daddy.

Menurut pengarah jabatan itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu sidang media dua hari lalu, siasatan mendapati keenam-enam wanita berkenaan melakukan hubungan seks secara sukarela dengan ada antara mereka melakukannya kerana bermotifkan keuntungan.

Jelasnya lagi, semua mereka sudah direman bagi membantu siasatan untuk mengesan individu lain yang terbabit dalam penghasilan video seks.

Jumaat lalu, lelaki tiga anak dikenali ‘Hot Daddy’ yang ditahan kerana merakam dan menjual aksi hubungan intim melalui aplikasi X, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32 dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.

Mereka ditahan pada 17 Januari lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan oleh JSJ sebelum ini mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan kadar RM100 bagi 200 video sebulan dan RM20 bagi 13 video sebulan. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor