HomeGlobalAl-Qassam jalankan 42 misi, musnahkan 71 kenderaan tentera, bunuh 16 askar Israel...

Al-Qassam jalankan 42 misi, musnahkan 71 kenderaan tentera, bunuh 16 askar Israel – Abu Ubaida

ABU Ubaida, jurucakap tentera Briged Al-Qassam, sayap bersenjata pejuang Palestin Hamas, mengumumkan bahawa pejuang Al-Qassam dalam tempoh empat hari lalu berjaya memusnahkan sepenuhnya atau sebahagian 71 kenderaan tentera Israel.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin itu, Abu Ubaida berkata, pertempuran di antara pejuang Palestin dan tentera Israel berterusan di pelbagai pertembungan di Genting Gaza.

Menurutnya, pejuang Al-Qassam berjaya membunuh 16 tentera Israel, mencederakan berpuluh yang lain.

Beliau berkata, briged Al-Qassam menjalankan 42 misi ketenteraan yang membunuh dan mencederakan beberapa askar Israel.

“Kami menyasarkan tentera Israel dengan peluru berpandu dan peranti anti-bunker dan anti-personel, berperang dengan mereka dari jarak dekat, sambil menyasarkan pasukan penyelamat mereka juga.

“Kami meletupkan dua rumah dan dua terowong dengan tentera Israel di dalamnya.

“Kami juga meletupkan periuk api dalam kenderaan dan tentera Israel serta kami melakukan dua operasi penembak tepat,” katanya.

Abu Ubaida berkata, Al-Qassam menyasarkan sebuah helikopter di udara Genting Gaza dan menembak jatuh dua pesawat peninjau serta merampas sebuah dron.

“Dengan menggunakan artileri, kami menyerang ibu pejabat dan bilik kawalan medan serta binaan tentera Israel dengan mortar dan roket jarak dekat di semua pertempuran di Genting Gaza.

“Kami menghujani bandar Tel Aviv di tengah-tengah Israel dengan serangan roket Al-Muqadma 90,” tambahnya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera Israel semakin sengit pada Isnin di kejiranan Al-Tuffah dan kem pelarian Al-Bureij di tengah Genting Gaza, dan di Khan Yunis di selatan Genting Gaza. – Palestine Chronicle

Author

Pilihan Editor