CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy sebagai rasis.
Perkara itu dibangkitkan selepas bekas pemimpin DAP itu mendakwa Dr Mahathir sebagai individu bertanggungjawab yang memecahkan kumpulan etnik di negara ini.
“Ramasamy sering menuduh saya rasis, tetapi apabila dia tinggalkan parti berbilang kaum (DAP), dia terus menubuhkan parti India.
“Dan apabila orang berketurunan India tiada dalam Kabinet kerajaan dia menegur kerajaan.
“Jika dia tidak mengutamakan orang India, apa salahnya jika tiada menteri berketurunan India dalam Kabinet?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata, menteri yang bukan berketurunan India juga merupakan menteri Malaysia dan sebagai rakyat negara ini, tiada sebab untuk menyatakan ketiadaan menteri India dalam Kabinet sebagai masalah.
“Jika ketiadaan menteri berketurunan India dalam Kabinet dilihat tidak adil, ini disebabkan Ramasamy masih setia kepada kaum India.
“Ini juga bermakna Ramasamy adalah rasis yang berjuang bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga rakyat berketurunan India,” tambahnya.
Terdahulu, Dr Mahathir dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Lantaran itu, Ramasamy berkata, kenyataan cauvinis seperti itu hanya boleh datang daripada Dr Mahathir.
“Pandangan cauvinis seperti itu hanya boleh datang daripada Mahathir, orang yang bertanggungjawab dalam politik yang memecahbelahkan negara sekarang,” kata Ramasamy dalam kenyataan.
Pada 10 Ogos tahun lalu, Ramasamy meninggalkan DAP selepas tidak dipilih sebagai calon dalam pilihan raya negeri sebelum menubuhkan Urimai.
November lalu, dia menubuhkan parti baharu untuk masyarakat India iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).